Kisah Benar : Siapa Tengku Khairuddin ?


Kisah ini berlaku ketika Ustaz Nabil Mahathir, isteri dan pembantunya, Encik Shamsol dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur melalui Gua Musang.

Perjalanan melalui jalan Gua Musang sememangnya mencabar. Jalannya yang sunyi dan dikelilingi hutan belantara adalah satu ‘keseraman’ kepada para pemandu lebih-lebih lagi pada waktu malam. Tetapi kisah ini dikisahkan kepada saya, berlaku pada waktu siang!

Sewaktu mereka sampai di suatu tempat, ditakdirkan tayar kereta Myvi yang mereka naiki pancit dan terpaksa berhenti di tepi jalan. Encik Shamsol menggalas tanggungjawab untuk menukar tayar spare. Tayar dikeluarkan daripada Boot kereta dan Ustaz Nabil cuba membantunya.

Dalam masa tidak berapa lama selepas itu, ada sebuah lagi kereta berjenis Waja juga berhenti di tepi jalan. Encik Shamsol memerhatikan kereta tersebut dan didapati tayar kereta Waja itu juga pancit!

Dalam suasana yang sunyi dan di tepi hutan itu, terdapat 2 kereta yang kebetulan pancit di tepi jalan!



TENGKU KHAIRUDDIN DATANG MEMBANTU

Pemandu kereta Waja tersebut malangnya tidak mempunyai kelengkapan untuk menukar tayar. Mungkin alatan ‘emergency’ beliau tidak dimasukkan semula ketika beliau membersihkan Boot kereta atau lain-lain alasan beliau yang tidak diketahui oleh mereka.

Pemandu kereta Waja berjalan merapati kereta Myvi dan berjumpa dengan Encik Shamsol untuk meminta pertolongan. Encik Shamsol bersetuju untuk membantu selepas selesai urusan menukarkan tayar Myvi terlebih dahulu.

Jalan ketika itu tidak banyak dilalui oleh kenderaan, tambahan pula ketika itu masih pagi di hari bekerja dan bukannya dalam musim perayaan. Hanya beberapa buah kenderaan sahaja yang melintasi mereka selang beberapa minit dan mungkin ramai yang tidak mahu berhenti untuk membantu mereka sebab tiada anak dara atau takut mereka semua itu hantu!

Sedang rancak mereka berbual, tiba-tiba berhenti sebuah kereta Proton Persona yang kelihatan masih baru. Pemandu Persona itu keluar daripada kenderaan dan merapati mereka.

“Saya Tengku Khairuddin, nampak gayanya ada 2 pulak kereta yang pancit sekali. Tak apa, biar saya bantu tukarkan tayar”, kata Tengku Khairuddin kepada Encik Shamsol, Ustaz Nabil dan isterinya, serta pemandu kereta Waja.

Encik Shamsol memerhatikan gerak laku Tengku Khairuddin, orangnya agak kemas tetapi tidak memakai kasut ataupun selipar! Kakinya agak kotor seperti baru memijak selut.

Kepelikan melanda mereka kerana tiba-tiba datang seorang lelaki yang tidak tahu mana datangnya dan tiba-tiba mengambil tempat untuk membantu mereka. “Maaf bertanya, mana kasut Tengku?”, Encik Shamsol memberanikan diri untuk bertanya.

“Oh! Saya baru keluar daripada hutan dekat sebelah sana tu”, Tengku Khairuddin menjawab dengan tenang. Mereka masih bingung kerana mengapa Tengku tidak berkasut tetapi pakaian tidak ada kesan lumpur dan kereta Persona itu langsung tidak kotor.

Persoalanan itu dibiarkan berlalu kerana ada insan yang sanggup membantu dikala kesusahan di tengah hutan sangat memberi kesyukuran kepada mereka.

“Ok! Siap!”, Tengku Khairuddin berkata seakan-akan Mamak menyiapkan Teh Tarik. Kedua-dua buah kereta telah beliau bantu menukarkan tayar spare seorang diri.

Encik Shamsol dan pemandu Waja menghulurkan sejumlah wang kepada Tengku Khairuddin tetapi beliau menolak kerana katanya beliau menolong dengan ikhlas. Sebelum beredar beliau menyampaikan pesanan.

“Nanti di hujung jalan ini ada sebuah pekan kecil. Ada bengkel tayar kawan saya di sana, nanti kalau berkelapangan, boleh tak sampaikan salam saya kepada kawan saya itu. Lagi pun, Encik boleh betulkan balik tayar yang bocor itu”, pesan Tengku Khairuddin dan beredar daripada situ.

Suasana kembali sunyi. Pemandu kereta Waja harus meneruskan perjalanan dan akan menukar tayar beliau di kawasan bandar dan ingin cepat sampai ke destinasinya. Mereka bersalaman dan kereta Waja pula beredar meninggalkan kawasan itu.

Ustaz Nabil tidak menunggu lama. Mereka juga terus segera meneruskan perjalanan dan meninggalkan kawasan berkenaan.

PEMILIK KEDAI TAYAR YANG TIDAK TERKEJUT

Tayar spare yang diganti tadi perlu ditukar kepada tayar asal kerana tayar spare tidak sesuai digunakan untuk perjalanan jauh.

Ustaz Nabil mengambil keputusan untuk membaiki tayar yang telah bocor tadi dengan singgah ke kedai tayar yang telah diberitahu oleh Tengku Khairuddin sebelum ini.

Mereka tiba di sebuah kawasan pekan kecil di Gua Musang, hanya terdapat beberapa buah kedai sahaja dan terdapat sebuah kedai tayar dibuka di situ. Mungkin itulah kedai tayar yang dimaksudkan oleh Tengku Khairuddin barangkali.

Kereta Myvi yang dipandu Encik Shamsol meluncur masuk ke dalam kedai tayar tersebut. Encik Shamsol keluar daripada kereta dan menyampa pekerja dan juga pemilik kedai tayar berkenaan untuk menampal semula kebocoran tayar asal.

Pekerja kedai tayar itu pun menampal tayar dan melakukan kerja-kerjanya sehingga siap. Suasana di kedai tayar tersebut tidaklah meriah. Hanya bunyi pam angin sahaja kedengaran di dalam kedai tersebut. Pemilik kedai tidak berkata apa-apa apatah lagi mahu berborak dengan Ustaz Nabil dan Encik Shamsol.

Ustaz Nabil dan Encik Shamsol juga senyap seribu bahasa sambil memerhatikan pekerja kedai tersebut memasang tayar. Mungkin mereka masih lagi teringat dengan peristiwa di tengah hutan tadi. Masih tertanya-tanya, siapakah Tengku Khiaruddin?

Tayar sudah siap dibaiki dan dipasang kembali.

Ustaz Nabil membayar bil dan kos baiki kepada pemilik kedai tayar. Beliau menyambut wang yang diberikan oleh Ustaz Nabil dengan perkataan ringkas, “Terima Kasih”.

“Oh ya! Tayar kami pancit dekat tengah hutan tadi. Tengku Khairuddin datang bantu dan dia pesan untuk kirim salam pada abang”, kata Ustaz Nabil menyampaikan pesanan Tengku Khairuddin.

Pemilik kedai hanya mengangguk. Encik Shamsol berasa pelik, kehadiran mereka seolah-olah tidak dialu-alukan dan lebih pelik lagi tiada reaksi daripada pemilik kedai apabila pesan Tengku Khairuddin disampaikan kepadanya. Sebelum mereka bergerak, pemilik kedai tayar sempat memberi kad niaga beliau kepada Ustaz Nabil.

Perjalanan masih jauh. Mereka harus meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur yang masih jauh beratus batu daripada Gua Musang.

Kereta Myvi meluncur semula di jalan raya dengan perasaan pelik dan mereka senyap seketika di dalam kereta.

“TENGKU KHAIRUDDIN” MENYAPA USTAZ NABIL

Mereka berhenti sebentar di Kompleks Rehat & Rawat Gua Musang untuk makan dan pergi ke tandas.

Tidak ramai yang berada di situ dan Ustaz Nabil dan Encik Shamsol ke tandas terlebih dahulu sebelum mereka makan tengahari.

Tiba-tiba Ustaz Nabil keluar dari tandas dengan tergesa-gesa mencari Encik Shamsol.

“Kenapa Ustaz?”, tanya Encik Shamsol yang risau dengan reaksi cemas yang ditunjukkan oleh Ustaz Nabil.

“Ada orang menyapa saya!”, jawab Ustaz Nabil ringkas lantas bergegas semula ke kereta dan bergerak meninggalkan kompleks Rehat dan Rawat Gua Musang itu!

Di dalam kereta, Ustaz Nabil bercerita : “Dalam tandas tadi saya tiba-tiba terdengar suara di belakang saya. Orang itu berkata : “Saya Tengku Khairuddin yang kamu jumpa tadi, saya dah mati dalam hutan di Gua Musang itu sebenarnya!”.

Isteri Ustaz Nabil dan Encik Shamsol terkejut! Lantas Ustaz Nabil menghubungi kembali pemilik kedai tayar yang kebetulan memberi business card kepada Ustaz Nabil sebelum mereka bergarka dari kedai beliau.

Tahukah apa yang pemilik kedai itu katakan?

Tengku Khairuddin adalah sahabat lama beliau. Dahulu, Tengku Khairuddin terbabas di hutan Gua Musang itu yang memgakibatkan beliau meninggal dunia di tempat kejadian. Sungguh tragis!

Adakah kereta Pesona yang masih baru itu adalah kereta yang dipandu Tengku Khairuddin semasa terbabas dan mati? Adakah kisah ini sudah biasa didengar oleh pemilik kedai tayar berkenaan? Bagaimana pula jika perkara ini terjadi pula kepada anda?

Seram sejuk saya dibuatnya. Mujur saya tidak ada di tempat kejadian semasa tayar Myvi itu pancit!

HANTU KALAU TOLONG ORANG, INI SUDAH CUKUP BAGUS!!

Jamalie_Jam @ jamalrafaie.com
45700 Bukit Rotan, 19 Januari 2013.

One thought on “Kisah Benar : Siapa Tengku Khairuddin ?

  1. nampak pelik jugak jalan cerita ni. kalau nk ke KL melalui Gua Musang, mesti akan sampai ke R&R dulu baru lah ke pekan Gua Musang. jarak R&R ke Gua Musang dalam 25Km.

    ReplyDelete

Powered by Blogger.

Popular Posts

Blogger templates