Team Al Afiah Beraksi Membunuh Jin Di Kompleks Beli-Belah


Oleh : JAMAL RAFAIE

Saya bersama Ustaz Nabil Mahathir dan pengurus Team Al Afiah (Encik Shamsol) pergi ke sebuah Kompleks membeli-belah yang terletak di utara tanah air. Tujuan kami ke sana adalah kerana jemputan pengerusi dan persatuan peniaga Kompleks tersebut bagi membantu menyelesaikan masalah ‘gangguan’ yang membimbangkan mereka.

Mengikut laporan yang kami terima daripada Pengerusi ialah kerap kali terjadinya kejadian yang tidak diingini berlaku di Kompleks ini semenjak ianya dibuka kepada orang ramai. Ada pelanggan yang tiba-tiba pengsan, ada juga yang histeria secara tiba-tiba dan ada peniaga yang nampak lembaga hitam berkeliaran di waktu malam.

Disebabkan itu, bermula sahaja pukul 7 malam, para peniaga sudah tidak berani berada di kedai dan akhirnya Kompleks berkenaan ‘berkubur’ sebelum tiba waktunya.

Membawa ke tengah malam, mungkin Kompleks Membeli-Belah itu sudah menjadi RUMAH HANTU gamaknya!



Team Al Afiah memulakan tugas sekitar pukul 10 malam. Ustaz Nabil Mahathir dibawa ke setiap penjuru Kompleks berkenaan bagi meninjau ‘keadaan’ dan ‘melawat’ penunggu yang ada.

TEMPAT ASAL PERKUBURAN LAMA

Setelah diselidiki dan mendengar cerita daripada peniaga, tapak Kompleks tersebut pada asalnya adalah sebuah tapak perkuburan lama. Secara kebetulan, sebelum Kompleks ini dibina, kawasan tersebut telah menempatkan sebuah stesen bas yang memusatkan perkhidmatan awam di kawasan itu.

Diceritakan juga kepada kami, banyak kejadian yang tidak diingini telah berlaku sewaktu stesen bas itu beroperasi seperti bas bergerak sendiri pada waktu malam tanpa pemandu, terlihat lembaga putih yang menakutkan dan histeria di kalangan pengunjung stesen bas berkenaan.

Menurut seorang peniaga yang memang tahu tentang sejarah kawasan tersebut mengatakan bahawa dahulu stesen bas tersebut menjadi tempat tidur penagih dadah pada waktu malam. Suatu hari, seorang penagih telah ditemui mati di stesen bas dengan kesan membengkak di bahagian kemaluan penagih tersebut.

Di sebelah Kompleks itu sekarang terdapat sebuah istana lama yang sudah tidak terurus lagi. Perkongsian dari peniaga mengatakan tiada siapa yang berani masuk ke dalam kawasan istana tersebut kerana banyak kes yang mengatakan ternampak benda-benda yang menakutkan!

Disebabkan banyak kes yang menakutkan berlaku di stesen bas tersebut, stesen itu telah dirobohkan dan pihak berkuasa membina semula kawasan tersebut dengan Kompleks Membeli-Belah yang ada pada hari ini.

OPERASI ‘MEMAGAR’ KOMPLEKS MEMBELI-BELAH

Ustaz Nabil meninjau di kawasan Kompleks tersebut dan mendapati ada 2 rumah utama jin yang tinggal di kawasan itu. Menurut Ustaz Nabil, apabila Rumah Jin itu sudah dihapuskan, Insya-Allah jin-jin tersebut dapat dibunuh atau dihalau keluar daripada tempat berkenaan.

Berbekalkan air penawar yang dibacakan dengan ayat-ayat suci Al-Quran, Ustaz Nabil bergerak sambil dibantu oleh En. Shamsol dan Pengerusi peniaga untuk mencari di manakah lokasi Rumah Jin tersebut. Gerak geri mereka sudah macam Ghost Buster dalam filem Hollywood, cuba tak ada alat penyedut hantu sahaja!

Dalam operasi tersebut, Ustaz Nabil mengesan tapak-tapak berkumpul jin-jin dan ‘mereka’ disembur dengan air penawar! Kawasan yang banyak berkumpulnya jin-jin adalah di kawasan tangga.



Saya juga dilibatkan oleh Ustaz Nabil dalam operasi ini, tugas saya adalah sebagai umpan bagi mengumpulkan jin di satu-satu tempat. Memang sungguh mendebarkan apabila saya disuruh berdiri di penjuru Kompleks seorang diri dan di dalam suasana yang menyeramkan.

Tidak lama selepas itu, Ustaz Nabil datang ke tempat saya dan menyemburkan air penawar ke kawasan yang ada jin-jin itu! Saya tak mampu nak menggambarkan bagaimana jin-jin tersebut terbakar dengan semburan air penawar tersebut, jika saya mampu melihat mungkin saya tidak menulisnya kerana takut barangkali!

Setelah meninjau, Ustaz Nabil sudah berjaya mengesan di manakah terletaknya Rumah Jin.

“Saya ada nampak 2 tempat, satu di belakang dewan dan satu tempat lagi dekat bawah. Ada dewan tak kat sini? Apa yang ada kat bawah Kompleks ni?”, tanya Ustaz Nabil kepada Pengerusi.

“Ada Ustaz, saya akan bawa Ustaz dekat belakang dewan. Lagi satu, kat bawah Kompleks ni ada tempat parking kereta,” terang Pengerusi kepada kami.

“Ha! Bahagian bawah sekali! Tempat parking kereta!”, kata Ustaz Nabil dengan semangat.

OPERASI ‘MEMBAKAR’ RUMAH JIN

Pada asalnya Ustaz Nabil hanya membenarkan saya, En. Shamsol, dan Pengerusi sahaja untuk turun ke tempat letak kereta, tetapi kerana sikap ingin tahu para peniaga, mereka juga turut serta bersama kami untuk turun ke bawah. Rombongan itu sudah macam kumpulan orang kampung yang nak memburu Hantu Kak Limah Balik Rumah!

Apabila kami berada di bawah, suasana terasa suram. Hanya terdapat beberapa buah kereta sahaja yang berani memparkir kereta mereka di situ. Memang terasa panas dan kepala menjadi pening serta merta apabila berada di situ.

Shamsol pula tiba-tiba muntah, memang sudah menjadi kebiasaan apabila suatu tempat itu mempunyai gangguan, Shamsol lah antara orang pertama yang mengalami masalah pening, muntah atau badan terasa sakit.



Ustaz Nabil dibiarkan berjalan tanpa dipimpin bagi membolehkan beliau mengesan sendiri Rumah Jin tersebut. Apabila beliau sampai di penjuru bangunan, Ustaz Nabil berhenti, membaca ayat Quran dan memercik air penawar di kawasan itu.

“Sudah selesai, tinggal satu lagi kat atas”, kata Ustaz Nabil. Kami pun membawanya ke belakang dewan seperti yang diminta oleh beliau.

Di belakang dewan pun sama, beliau membaca ayat Al-Quran dan menyimbah air penawar di kawasan tersebut dan operasi pada malam itu pun selesai.

Alhamdulillah.

SEKARANG, TERPULANG KEPADA PENIAGA

Gangguan yang digeruni oleh para peniaga dan para pengunjung yang menyebabkan Kompleks membeli-belah tersebut ‘mundur’ sudah berakhir.

Mudah-mudahan gangguan sudah tidak ada lagi dengan izin Allah dan ia pastinya membuatkan para peniaga dapat tersenyum kembali. Semoga tiada lagi kes-kes gangguan yang membuatkan mereka risau muncul lagi di masa yang akan datang.

Kini, keputusan terserah kepada peniaga untuk membawa perubahan kepada perniagaan mereka. Banyak yang kita dengar para peniaga menggunakan pelaris (jin) untuk melariskan perniagaan mereka. Perkara ini harus dielakkan kerana menggunakan khidmat jin untuk membantu urusan manusia adalah satu yang ditegah agama dan ditakuti jatuh ke lembah syirik kepada Allah.

Para peniaga di situ perlu menceriakan lagi kedai mereka, memperbanyakkan jenis jualan dan pihak berkuasa juga perlu membuat lebih banyak program-program bagi menarik minat pengunjung untuk membeli-belah di situ.

Bagi kami, tempat itu amat strategik kerana terletak di tengah-tengah kota dan jika perubahan dilakukan, tidak mustahil Kompleks berkenaan menjadi tumpuan utama para pengunjung untuk berbelanja.

Tiada lagi penunggu, jangan guna pelaris dan tingkatkan promosi dan kualiti dalam perniagaan. Usah salahkan kerajaan apabila tidak berjaya dalam perniagaan kerana kerajaan sudah banyak memberi peluang kepada Bumiputera untuk berniaga, dan yang lain itu terserah kepada kita.

Semoga terus sukses kepada para peniaga daripada kami Team Al Afiah.

Walallahua’lam.

Leave a Reply

Powered by Blogger.

Popular Posts

Blogger templates